Mesyuarat Koordinasi ( Isu Vandalisme Menara Telekomunikasi Bengoh Resettlement Scheme,Brs)

19 September 2020 | Aktiviti Terkini

Pada hari Jumaat, 18 September 2020 satu Mesyuarat Koordinasi Isu Vandalisme Menara Telekomunikasi di Bengoh Resettlement Scheme (BRS) yang bertempat di Dewan Komuniti Kampung Taba Sait, BRS telah diadakan. Mesyuarat dipengerusikan oleh,YB Tuan Willie Mongin Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen P.198 Puncak Borneo.

Mesyuarat dimulakan dengan ucapan kata aluan oleh Pengarah MCMC Negeri Sarawak iaitu En. Adiman Ajem. Seterusnya amanat yang penuh bermakna daripada YB Tuan Willie Mongin. Dalam amanatnya, beliau memberitahu terdapat 42 buah menara Perkhidmatan Pemberian Sejagat (PPS) termasuk menara berskala kecil telah dibina bagi memperluaskan liputan perkhidmatan komunikasi.

Selain itu, 6 buah Pusat Internet telah beroperasi di sekitar kawasan Puncak Borneo bagi memberikan capaian internet secara kolektif dan menyediakan pelbagai latihan ICT serta keusahawanan secara percuma kepada semua ahli yang berdaftar. Bagi penambahbaikan liputan selular di Parlimen Puncak Borneo, pihak MCMC telah memperuntukkan sebanyak 10 buah menara PPS dalam Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA telah dirancang untuk dibina bagi memperluaskan liputan komunikasi.
Turut hadir bersama iaitu En Amrul Halim Han, Pengarah Urusan Redtone yang menyentuh isu mengenai insiden vandalisme di menara telekomunikasi BRS yang telah berlaku sebanyak 8 kali dan telah membawa kerugian lebih daripada RM500,000 sejak tahun 2019 hingga ke julai 2020 . Beberapa cadangan penyelesaian telah dibincangkan bagi membendung isu vandalism yang berulang kali. Antaranya, memasang halangan palang besi di jalan masuk ke menara tersebut, menempatkan pengawal keselamatan di menara serta cadangan untuk memindahkan menara tersebut ke kawasan BRS bagi memudahkan pemantauan dan rondaan. Sebagai peringatan, orang awam adalah dilarang untuk memasuki kawasan menara tanpa kebenaran. Kerosakan terhadap kemudahan komunikasi seperti kabel dan struktur menara adalah merupakan kesalahan di bawah Sekysen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Perbuatan mencuri peralatan di tapak menara juga boleh didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksima 7 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Antara yang hadir dalam mesyuarat koordinasi ini ialah Timbalan Pengarah MCMC Negeri Sarawak En. Scott Kueh Sui Yek, Pegawai Tadbir Daerah Siburan Tuan Rangen Jamang, Wakil Pegawai Tadbir Pejabat Kecil Siburan En. Benjamin Naris, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Padawan ASP Wadi Rani, AOCS Balai Polis Batu.10 Padawan Sarjan Iswandy Bin Ajis, Pegawai Perlesenan IPD Padawan Tuan Nelson Noel , Penghulu Kawasan Biya En. Itidio Pew Anak Rayu, Ketua-Ketua Kaum di BRS yang terdiri daripada Kpg Rejoi, Kpg Semban, Kpg Pain Bojong dan Kpg Taba Sait, Presiden Persatuan Perbiya Kuching Kaunselor Joseph Tau, Ketua Perhubungan RELA Kawasan Penerissen En. Paul Akiu Bandat, Pengurus Pusat Internet Bengoh En Raymon Anak Singing dan Pengerusi AJK BRS Cikgu Johin Krayu.

Mesyuarat ini bermula dari pukul 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan:

Kembali Ke Atas

kembali